Dua hari lalu acara besar berlaku iaitu Malaysian Creative Pitch (MCPitch) di pekarangan Finas yang menarik ramai peserta - penerbit filem (dan tv), stesen penyiaran dan penulis-penulis skrip. Ramai yang pulang gembira (lebih-lebih lagi penulis junior) yang antara mereka ada baru pertama kali idea mereka didengar oleh penerbit, malah dapat menjalin connection dengan pemain-pemain industri tersebut. Acara itu dianggap berjaya kerana sambutan yang menepati sasaran (berdasarkan cerita-cerita di kalangan penulis dalam komuniti facebook.) Yang dititik berat ialah soal sama ada dalam acara yang terbuka seperti itu apakah idea seseorang itu dicuri oleh pihak lain. Namun langkah-langkah sepatutnya telah diambil oleh pihak penganjur dan kelihatannya ramai yang berpuas hati dengan sistem yang telah dirancang dan dilaksanakan. Kecuali satu dua suara yang berkata: masih ada ruang untuk diperbaiki.
![]() |
Suasana di MCPitch 2011 - gambar dari album GBPSM (facebook) (c) Martias Ali |
Dalam program open pitching seperti ini, kekhuatiran saya bukan tentang sama ada idea kita akan dicuri atau tidak. Malah saya seorang yang bukan meletak idea sebagai nombor satu dalam menghasilkan cerita/skrip yang baik tetapi kemahiran dan kepandaian penulis itu sendiri, sehingga sesebuah karya (skrip) itu terhasil. Apa yang saya khuatir ialah acara itu akan hanya memberi sekadar harapan dan tidak lebih daripada itu. Mungkin satu atau dua penulis bertemu jodoh dengan rezeki yang banyak, tetapi sepuluh lagi akan memeluk harapan yang kosong.
Pitching itu sebenarnya bagaimana? Jika mengikut pemahaman saya, pitching ini ibarat "menjual ubat", dan pastinya ubat itu sedia ada untuk ditunjuk... dan dijual. Penjual ubat tidak menjual ubat yang belum dibuat. Pitching ini ibarat jurujual yang datang ke rumah kita menjual vacuum cleaner, arcopal, komputer untuk kanak-kanak dan lampu suluh tak pakai bateri - ada barang untuk ditunjukkan dan boleh buat demonstrasi pula. Tetapi pitching untuk filem/program tv sekarang ini lain - yang dijual hanya idea, bukan produk. Produknya belum terhasil.
Saya tidak ingat pernah menggunakan istilah pitching sebelum ini. Apa yang saya ingat, semasa aktif menulis sebelum kegawatan ekonomi 1997 dulu saya menjual skrip. Saya bawa manuskrip yang siap dijilid berjumpa penerbit. Sudah tentu dia tidak akan membaca skrip saya pada masa itu juga. Tetapi matlamat saya ialah supaya saya dapat meninggalkan skrip saya untuk ditelitinya kemudian. Untuk tujuan itu saya kisahkan kepada penerbit skrip saya itu cerita apa sebenarnya, dan cuba yakinkan kepadanya mengapa dia harus menerbitkan skrip saya itu ke dalam bentuk video. Saya bacakan sinopsis kepadanya. Kemudian menjawab soalan-soalan yang lebih teknikal. Hingga akhirnya penerbit bersetuju untuk membaca skrip saya.
Meyakinkan penerbit untuk membaca (seterusnya membeli) skrip kita, itulah pitching.
Hanya apabila seorang penulis itu diyakini oleh penerbit, barulah penulis boleh menjual skrip yang belum ditulis. Ini pun pitching. Tetapi, sekali lagi disebut, apabila penulis diyakini oleh penerbit, untuk menghasilkan skrip yang baik dan sesuai untuk diterbitkan dan dilulus oleh stesen tv untuk tayangan.
Tetapi semenjak penghujung tahun 1997 penerbit tidak berani lagi membeli skrip, apatah lagi skrip yang belum ditulis, kerana stesen tv tidak lagi membeli produk yang sudah siap. Mungkin tahun 2000, pertama kali diperkenalkan sistem proposal - penerbit menghantar proposal untuk membuat drama (tele, rantaian), sitcom, doku dan majalah tv - untuk dinilai dan diluluskan oleh stesen tv. Pada masa itu pitching dibuat setelah proposal mendapat pertimbangan (atau diluluskan) kerana stesen tv ingin memastikan mereka akan dapat produk seperti yang mereka mahu. Kemudian sistem ini berubah, pitching dibuat supaya proposal boleh diterima oleh stesen tv.
Pada mulanya ia kelihatan bagus, kerana penerbit hanya menerbit bahan yang tv mahu (dan penulis hanya menulis bahan yang tv mahukan). Tetapi lama kelamaan ia menjadi tidak bagus, kerana penulis tidak lagi bebas berkarya dan dianggap hanya sebagai pekerja upahan. Dan penulis bukan diberi merit kerana dia seorang penulis yang mahir, berwibawa atau berkualiti. Sesiapa saja yang boleh mengembangkan idea (dari sinopsis) untuk menghasilkan skrip lengkap, dia adalah penulis skrip. (Namun, penulis yang baik tetap mampu menghasilkan skrip yang baik, tetapi tidak ramai.) Hasilnya kita dengar, walaupun daripada mulut mereka yang tidak tahu menahu langsung tentang dunia hiburan ini, Malaysia kekurangan penulis yang bagus.
Saya fikir, sistem pitching "skrip yang belum ditulis" ini relevan pada beberapa tahun selepas ia diperkenalkan. Sepatutnya sekarang sistem hendaklah diubah semula, beri peluang kepada penulis berkarya mengikut kepandaian masing-masing dan nilaikan kualiti skrip mereka, dan memberi merit kepada mereka. Cara ini pasti akan menzahirkan skrip-skrip yang bermutu seperti yang diminta oleh penonton.
Itu harapan saya. Sebaliknya sistem pitching tanpa wujudnya skrip ini diperluas pula ke medan terbuka. Berapa banyakkah "idea" telah dijual beli pada MCPitch 17 November lalu? Apakah semua idea ini akan terhasil menjadi skrip dan dibeli oleh produser? Apakah akhirnya idea-idea ini akan menjadi telemovie, drama rantai dan sebagainya? Ataukah hanya sebagai landasan untuk penerbit-penerbit mendapatkan bahan-bahan untuk dihantar sebagai proposal ke stesen-stesen tv dalam musim yang akan datang?
Saya suka bangat sama tulisan ini. Walau apa pun niat penganjur pitching ini harus diberi kredit juga. Mungkin ini kali pertama. InsyaAllah kali kedua tegia dan keempat sudah pasti ada penambah baikannya...
BalasPadamTerima kasih kerana meninggalkan komen, bro. Bukan senang kerja menganjur program seperti ini. Ia melibatkan keringat dan air mata. Dan kita tahu dibuat bukan untuk diri sendiri. Kudos to the organisers. Overall the event was well received but of course there are still some questions left unanswered. Ukuran sebenar kejayaan acara ini mungkin dapat dilihat dalam beberapa bulan ini.
BalasPadamSalaam..
BalasPadamSecara peribadi saya alu-alukan usaha MPitch itu sebagai tapak asas 'networking' dengan penerbit tv/filem tempatan terutamanya kepada Penulis Skrip yang baru atau tinggal di luar KL. Networking itulah yang paling PENTING berbanding samada pitch itu berjaya atau tidak. Penerbit pun ada yang besar ada yang kecil malahan ada juga yang akan bekerja dengan Penulis Skrip yang sama berkali-kali kerana kebolehan seseorang Penulis Skrip yang memahami kehendak syarikat penerbitan tersebut atau kerana limitasi mencari Penulis Skrip yang lain/baru. Penerbit juga ada yang sememangnya di kalangan Penulis Skrip yang sudah berpengalaman dan kini memiliki syarikat penerbitan sendiri dimana mereka akan menulis sendiri skrip atau menyerahkan idea mereka kepada Penulis Skrip yang menjadi 'anak didik' atau di kalangan kawan-kawan yang boleh dipercayai mampu menyiapkan sesebuah skrip mengikut jangkamasa yang terhad diberikan oleh stesyen tv. Setahu saya, kebanyakan Penulis Skrip yang sememangnya sudah ada 'networking' dengan penerbit yang sediada akan cuba mengekalkan penulisan karya skrip mereka yang seterusnya dengan penerbit yang sama kerana sudah mengenali satu sama lain dan lebih terjamin akan diterbitkan seandainya konsep idea mereka menepati kehendak semasa stesyen tv atau penerbit filem. Yang saya faham juga MPitch ini memberi peluang kepada individu awam yang bukan Penulis Skrip yang ada 'idea' berpotensi untuk dijual kepada penerbit dan seterusnya mungkin sesuai dengan kehendak semasa stesyen tv atau produksi filem. Seandainya idea itu berjaya dipersetujui untuk dibikin, maka penerbit kena hubungi semula si penjual pitch untuk menulis sendiri skrip penuh atau hanya dibayar harga ideanya dimana penerbit akan mencari Penulis Skrip lain di kalangan networking mereka untuk menyiapkan skrip penuh. Itu yang saya fahamlah huhu!
Terima kasih Ajami kerana komen yang cukup positif. Saya bersetuju dengan pendapat anda keseluruhannya. Tetapi saya juga mendengar komen-komen negatif tentang wujudnya penerbit yang sepatutnya dielak oleh penulis, pada hari pitching tersebut. Mereka ini tidak dikenali oleh penulis baru yang memang datang ke situ untuk mewujudkan hubungan dengan penerbit. Bagaimanapun saya sentiasa mengharap yang terbaik untuk rakan sekerjaya saya.
BalasPadam